loader

Pengumuman

Diskaun ihsan (goodwill discount) untuk penyelesaian awal Perjanjian Sewa Beli sedia ada, akan ditawarkan bermula pada tarikh Akta (Pindaan) Sewa Beli berkuat kuasa

02 DISEMBER 2025

Selaras dengan kenyataan media bersama oleh Persatuan Bank-bank dalam Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dan Persatuan Institusi-institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM) yang disiarkan pada 2 Disember 2025, Public Bank akan menawarkan diskaun ihsan (goodwill discount) untuk penyelesaian awal bagi perjanjian sewa beli kadar tetap sedia ada dan/atau yang menggunakan kaedah Peraturan 78, menjelang pelaksanaan Akta (Pindaan) Sewa Beli (HPAA).

Program diskaun ihsan (goodwill discount) ini akan bermula pada tarikh HPAA berkuat kuasa, yang dijangka pada suku pertama tahun 2026. Bank akan memaklumkan kepada pelanggan apabila HPAA telah dikuatkuasakan.

Siapakah yang layak?

Individu dan perniagaan mikro atau kecil dengan perjanjian sewa beli pada kadar tetap dan/atau yang menggunakan kaedah Peraturan 78:

  • perjanjian yang dibuat sebelum HPAA berkuat kuasa; atau
  • perjanjian yang dibuat semasa tempoh penagguhan 18 bulan yang dibenarkan di bawah pindaan Akta tersebut; dan
  • pelanggan yang memilih untuk menyelesaikan pembiayaan sewa beli mereka lebih awal iaitu pada bila-bila masa sebelum tarikh matang pinjaman atau pembiayaan.

Kriteria kelayakan

Untuk membuat penyelesaian awal, akaun hendaklah:

  • tidak mempunyai tunggakan melebihi 90 hari;
  • tidak dikenakan tindakan undang-undang atau perintah pemilikan semula kenderaan sudah dikeluarkan; atau
  • bukan di bawah penstrukturan dan penjadualan semula (R&R) atau didaftarkan secara rasmi di bawah program pengurusan hutang.

Apakah diskaun yang ditawarkan?

  • Diskaun ihsan (goodwill discount) akan dikira berdasarkan ciri-ciri perjanjian sewa beli sedia ada (seperti masa penyelesaian awal atau struktur kadar) dan digunakan kepada baki yang perlu dibayar. Tujuannya adalah untuk menawarkan kaedah penyelesaian awal yang secara umumnya setara dengan kaedah di bawah pindaan Akta tersebut.
  • Pengiraan tepat dan jumlah diskaun ihsan (goodwill discount) mungkin berbeza antara bank dan produk, dan akan dijelaskan kepada pelanggan apabila mereka membuat permohonan untuk penyelesaian awal.

Butiran mengenai diskaun ihsan (goodwill discount) dan mekanisme operasi akan dimaklumkan dan dilaksanakan selepas Akta (Pindaan) Sewa Beli (HPAA) diwartakan.